- Ahli Lembaga Penasihat Antarabangsa bagi beberapa vaksin sejak 1996, Datuk Dr. Musa Mohd Nordin merujuk satu hantaran di platform Threads yang mendakwa vaksin eksperimental mengandungi virus Simian Virus 40 (SV40), yang dikaitkan dengan risiko barah.
- Dr. Musa berkata dakwaan itu adalah maklumat salah (misinformation) yang telah ketinggalan lebih 60 tahun dari fakta semasa.
- Kajian besar ke atas manusia tidak menunjukkan SV40 sebagai agen penyebab barah dalam manusia.
KUALA LUMPUR – Seorang Ahli Lembaga Penasihat Antarabangsa bagi beberapa vaksin sejak 1996, Datuk Dr. Musa Mohd Nordin, menegaskan bahawa dakwaan tular di media sosial kononnya vaksin moden mengandungi virus SV40 yang boleh menyebabkan barah adalah tidak benar dan mengelirukan.
Beliau merujuk satu hantaran di platform Threads yang mendakwa vaksin eksperimental mengandungi virus Simian Virus 40 (SV40), yang dikaitkan dengan risiko barah.
Bercakap kepada The Merdeka Times, Dr. Musa berkata dakwaan itu adalah maklumat salah (misinformation) yang telah ketinggalan lebih 60 tahun dari fakta semasa.
“SV40 ialah sejenis virus yang ditemui dalam monyet dan pernah dikesan dalam vaksin polio terawal sekitar tahun 1960-an. Ini berlaku kerana pada masa itu vaksin polio dihasilkan menggunakan sel ginjal monyet,” jelasnya.
Namun beliau menegaskan bahawa teknologi dan amalan penghasilan vaksin telah berubah sepenuhnya.
Vaksin moden kini tidak lagi menggunakan sel ginjal monyet dan dikilangkan mengikut amalan pengilangan baik (Good Manufacturing Practice) dengan piawaian keselamatan yang sangat ketat.
“Oleh itu, vaksin hari ini tidak mengandungi SV40 atau virus lain yang serupa. Dakwaan tersebut langsung tidak berasas dan hanya mencetuskan ketakutan dalam kalangan masyarakat,” tegasnya.

Foto: Tangkap layar hantaran di Threads.
Dr. Musa turut memberi amaran bahawa maklumat palsu seperti ini sering dimanipulasi oleh golongan anti-vaksin yang mempunyai kepentingan tertentu untuk menyebarkan disinformasi, sekali gus menggugat kepercayaan masyarakat terhadap vaksin.
Beliau turut mengakui bahawa SV40 menunjukkan potensi menyebabkan barah dalam haiwan makmal.
Namun, kajian besar ke atas manusia tidak menunjukkan SV40 sebagai agen penyebab barah dalam manusia.
“Saya berharap orang ramai tidak mudah terpedaya dengan berita palsu yang menakutkan di media sosial. Vaksin terbukti sebagai intervensi kesihatan awam yang paling berkesan dalam mencegah penyakit berjangkit yang boleh menyebabkan kematian serta kecacatan otak dan fizikal,” katanya.
Mengulas keberkesanan vaksin, Dr. Musa memetik data semasa pandemik COVID-19, di mana vaksin COVID berjaya mencegah kira-kira 14.4 juta kematian di seluruh dunia dalam tempoh setahun dari Disember 2020 hingga Disember 2021.—The Merdeka Times