Dr Musa Mohd Nordin, Pakar Pediatrik
Dr Zulkifli Ismail, Pakar Pediatrik
Asst Prof Mohammad Farhan Rusli, Pakar Kesihatan Awam
Ini bukan soalan retorik tetapi suatu realiti terkini yang harus ditangani. Namun ia suatu hipotesis yang agak mengeciwakan kerana sebagai penganut agama Islam, kita mewarisi suatu legasi vaksin yang terulung.
Mohammad Zakaria Razi (865-925 CE, 251-313 AH) atau lebih dikenali sebagai ar-Razi merupakan pakar perubatan pertama yang menulis mengenai penyakit cacar (smallpox) dan campak (measles).
Beliau merupakan saintis yang mulamula mengemukakann konsep penularan kuman diudara (air borne infection). Apabila disuruh oleh khalifah memilih tempat untuk mendirikan hospital, ar-Razi telah menyuruh kontraktor meletakkan kepingan daging dibeberpa lokasi dikota tersebut. Lokasi yang paling kurang merosakkan daging itu dipilih sebagai tapak pembinaan hospital.
Pada kurun 1700an, pakar perubatan Turki dizaman khalifah Uthmaniah, telah menerajui dan memajukan konsep variolasi untuk mencegah jangkitan cacar. Ide ini telah dibawa balik oleh Lady Mary W Montague keEngland dan pada tahun 1796, Edward Jenner telah melakukan inokulasi cowpox untuk mencegah daripada jangkitan smallpox (cacar).
Sepatutnya dengan khazanah ilmu perubatan vaksin yang dipelupori oleh sarjana perubatan Islam, kita seharusnya menjadi umat yang memperjuangkan konsep “al wiqayatu khairun minal ilaj” ia-itu pencegahan lebih baik dari pengubatan.
Tetapi amat malang, kita telah alpa tentang jihad perubatan yang kita warisi daripada sarjana Islam dahulu kala.
Sungguh mengaibkan kami didalam bidang perubatan, apabila kes2 terakhir cacar merupakan Rahima Banu diBangladesh (16 Oktober 1975) dan Ali Maow Maalin diSomalia (26 Oktober 1977).
Dikala dunia telah bebas polio, 2 negara yang masih endemik dengan polio adalah Pakistan dan Afghanistan.
Bahagian Pembangunan Kesihatan Awam, KKM didalam kajian mengenai kes penolakan vaksin dari tahun 2015-2017 telah menyenaraikan negeri Kelantan, Terengganu, Kedah dan Pahang sebagai yang tertinggi. Negeri Selangor dan Perak juga tinggi akibat fenomena media sosial yang meniru golongan anti-vaksin di negara Barat.
Apabila diselidik punca penolakan vaksin ini, KKM mendapati bahawa 4 sebab yang utama adalah isu halal dan haram, keraguan dengan kandungan vaksin, rawatan homeopati dan rawatan tradisional. Jelas bahawa mereka tidak yakin dengan vaksin dan lebih mengutamakan rawatan alternatif.
Tren ini juga dipamerkan didalam sikap orang Melayu terhadap vaksin COVID-19. Walaupun virus COVID-19 telah menjangkiti 4 juta (13%) rakyat kita dan meragut 34 ribu (0.85%) nyawa, orang Melayu masih lagi meragui vaksin COVID-19 yang setakat ini telah mencegah berjuta manusia dari kena jangkitan COVID-19, masuk hospital/ICU dan kematian. [1]
Kadar pengambilan vaksin untuk orang dewasa (18 tahun keatas) paling rendah dinegeri Kelantan (79.9%), Pahang (87%), Kedah (88.5%) dan Terengganu (91.9%) berbanding dengan kadar purata negara 97.5%.
Setakat 10 Feb 2022, hanya 47.9% orang Melayu telah mengambil dos penggalak berbanding orang China 81.3%, orang India 56.4% dan orang Asli 49.6% [2]
Begitu juga kadar vaksinasi kanakkanak 5-11 tahun, dimana kadar diKelantan (9.5%), Terengganu (11.7%), Kedah (22.3%) Perlis (24.9%) dan Pahang (26.5%) amat rendah berbanding dengan kadar purata negara 35.8%.
Disebabkan kadar yang rendah ini dan varian Omicron yang ganas menular, kes COVID-19 dikalangan kanak2 dibawah 12 tahun telah meningkat dari 7,730 (2020), ke 379,245 (2021) dan 119,719 bagi tiga bulan pertama tahun 2022 (Jan-9 Mach 2022). [3]
Kadar kes COVID-19 teruk (tahap 4) naik 200% dan 125% untuk tahap 5.
MIS-C adalah gejala COVID-19 yang paling teruk dikalangan kanak2 dan telah mengakibatkan 174 kes dibawah 18 tahun dan 7 (4%) telah meninggal dunia.
Kajian dilapangan menunjukkan bahawa ibu bapa kanak2 China lebih rela untuk memberi vaksin kepada anak2 mereka berbanding dengan ibu-bapa Melayu. Maka tidak hairan jika majoriti kemasukan kehospital untuk jangkitan COVID-19 terdiri dari kanak2 Melayu yang tidak menerima vaksin. [4]
Apa yang lebih menyedihkan, ialah terdapat ramai orang dewasa yang telah menerima vaksin tetapi menolak dan enggan membawa anak-anak mereka di suntik vaksin. Apakah rasionalnya apabila ini dilakukan? Mereka melindungi diri sendiri tetapi mengabaikan kesihatan anak-anak mereka. Semestinya apabila kita telah selamat menerima vaksin, ia juga selamat bagi anak-anak kita. Dan ini terbukti didalam kajian vaksin dimana kesan sampingan sedikit sahaja dan lebih ringan berbanding dikalangan orang dewasa.
Kajian KKM juga menunjukkan bahawa risiko seseorang yang tidak divaksin mati dari COVID-19 adalah 62 kali ganda berbanding yang divaksinasi. DiAmerika, dimana lebih ramai rakyatnya menolak vaksin risiko ini ialah 100 kali ganda. [5]
Maqasid Shari’ah (objektif utama Shari’ah) menuntut umat Islam supaya memelihara nyawa dengan mengguna kaedah saintifk (seperti vaksin) yang sedia ada. Ini termaktub didalam seruan al-Quran yang bermaksud:
“Dan barangsiapa memelihara kehidupan seorang manusia, maka seolah-olah dia telah memelihara kehidupan manusia semuanya.” (Al Maidah: 32)
Berasaskan dalil darpada Al-Quran, As-Sunnah dan sumber lain yang sahih dan saintifik, Mesyuarat Khas Jawatankuasa Muzakarah Kebangsaan Hal Ehwal Agama Islam yang bersidang pada 3 Disember 2020 telah mengambil ketetapan bahawa:
“Hukum penggunaan vaksin COVID-19 adalah harus dan ia wajib diambil oleh golongan yang ditetapkan kerajaan.”
Jelas daripada fatwa ini bahawa pertamanya vaksin COVID-19 adalah harus dan ia dibenarkan dan diterima pakai diMalaysia untuk umat Islam. Maka orang Melayu tidak sepatutnya ragu2 tentang kehalalannya, isi kandungannya dan mereka mesti menolak tanggapan bahawa ia adalah satu muslihat dan konsiprasi orang Barat dan Yahudi untuk melemahkan umat Islam.
Keduanya, fatwa ini menekankan bahawa mereka yang berisiko tinggi dijangkiti COVID-19, seperti umur lanjut (lebih 60 tahun), ada penyakit seperti darah tinggi, kencing manis, sakit jantung dan lemah imuniti badan – mereka ini diwajibkan mengambil vaksin.
Orang Melayu sepatutnya tidak was-was lagi tentang vaksin ini. Kita harus yakin bahawa Sohibus Samahah Menteri Agama dan mufti2 telah sepakat bahawa vaksin ini adalah halalan toyiban, iaitu bukan sahaja halal tetapi amat baik.
Dan bukan itu sahaja ia juga memelihara nyawa (an-nafs), intelek (al-aql), zuriat (an-nasl) dan harta (al-mal) yang merupakan tunggak kepada maqasid Shari’ah.
Bahkan bukan hanya di Malaysia, Majlis Fiqh di Indonesia, Singapura dan negeri-negeri Arab telah pun bersetuju bahawa vaksin adalah satu kaedah pencegahan yang paling baik untuk melindungi nyawa manusia dan mengeluarkan kita daripada pandemik.
Justeru itu, kita sebagai rakyat harus yakin kerana ulama semua telahpun bersepakat setelah mendapat matlumat saintifik daripada pengkaji vaskin dan pakar kesihatan awam.
Cuma yang tidak bersetuju adalah segelintir kecil ustaz-ustaz di Malaysia yang percaya kepada teori-teori konspirasi. Mereka mengeluarkan teori-teori yang karut yang tidak berasaskan kepada dalil daripada an-nahjus sahih maupun bukti saintifk. Dan mereka memberi kuliah agama di media sosial, di kampung-kampung dan menyatakan bahawa vaksin ini berbahaya.
Kami ingin ustaz-ustaz ini untuk menunjukkan dimana hujjah, dimana dalilnya bahawa vaksin ini berbahaya? Apakah ustaz-ustaz ini telah melakukan kajian?
Sebagai seorang Muslim, kita wajib menyandarkan pandangan kita dengan ilmu. Firman Allah (SWT) dalam Surah Yusuf ayat 108 yang bermaksud:
“Katakan wahai Muhammad, panggillah ke jalan Allah bersama orang-orang yang menyeru kepada agamaku dengan hujah-hujah dan dalil-dalil.”
Jadi cabaran kami kepada ustaz-ustaz yang mengatakan vaksin ini tidak berkesan dan tidak selamat, ialah, sila tunjukkan hujahnya. Cabaran ini juga ditujukan kepada golongan anti-vaksin yang mempromosikan ivermectin, chloroquine, dos tinggi vitamin, jamu, herba, rawatan homeopati dan tradisional.
Setakat ini tiada bukti maupun kebenaran didalam polemik mereka dan ia hanya merupakan suatu pembohongan kepada orang Melayu yang mendengar ceramah dan membaca mesej dimedia sosial, sekali gus mengakibatkan ramai dalam kalangan orang Melayu yang menolak vaksin.
Kita dituntut supaya merujuk dan bertanya kepada mereka yang ahli, berpengetahuan dan berpengalaman didalam sesuatu bidang ilmu seperti mana firman Allah dalam surah Al-Anbiya ayat 7:
“… maka tanyakan lah kepada orang yang berilmu, jika kamu tidak mengetahui.”
Orang Melayu harus mengambil iktibar dan menunjukkan bahawa kita bukanlah kaum yang mundur, yang mudah percaya dan terpengarah dengan karut-karut sosial media. Kita telah menjadi bahan jenaka kepada kaum-kaum lain, kerana percaya kepada pil kurus, minuman untuk menjadi putih, misai kucing tetapi menolak vaksin yang dimajukan oleh pakar-pakar saintis yang berilmiah.
Ini seumpama zaman Nabi (SAW) di mana kaum Quraish lebih percaya kepada perkara karut seperti berhala dari syiar tauhid yang disampaikan oleh Nabi (SAW) sendiri. Perkara sama kita dapat saksikan sekarang, di mana orang-orang yag berilmu ditolak, dan orang-orang yang membawa tipu daya dipercayai.
Harapan kami supaya orang Melayu berpegang teguh dengan ajaran Islam yang sahih dan berpandukan kepada fatwa kebangsaan yang telah diwartakan oleh Jawatankuasa Muzakarah Kebangsaan yang berpaksikan ilmu rabbani dari Al-Quran dan As-Sunnah dan ilmu saintifik yang berasaskan “evidence based medicine” (perubatan berasaskan bukti).
Orang Melayu juga mesti menolak golongan ustaz dan anti-vaksin yang mempromosikan ubatubat yang tidak dikaji dengan teliti, tidak berkesan dan boleh membahayakan kesihatan seseorang.
Golongan ini walaupun amat kecil bilangannya, tetapi sungguh celupar di media sosial dengan berita2 palsu, pembohongan, maklumat yang salah dan teori2 konspirasi.
Adalah menjadi adab seorang Muslim yang sejati untuk menyemak setiap mesej yang diterima dan mempastikan kebenarannya sebelum dikongsi dengan orang lain.
Samasama kita menghayati dan mengamalkan suruhan Allah (SWT) didalam surah Al-Hujurat ayat 6:
“Wahai orang-orang yang beriman! Jika seseorang yang fasik datang kepadamu membawa suatu berita, maka telitilah kebenarannya, agar kamu tidak mencelakakan suatu kaum karena kebodohan (kecerobohan), yang akhirnya kamu menyesali perbuatanmu itu.”
Rujukan:
- https://covidnow.moh.gov.my/
- Khairy: High Kids’ Covid-19 Vaccine Acceptance Among Chinese – CodeBlue (galencentre.org)
- Khairy: Only 30% of children vaccinated, time to wait and see over | The Edge Markets
- Covid-19: Get your kids vaccinated immediately, KJ urges parents as infections among children rise | The Star
- https://www.nst.com.my/news/nation/2022/01/761827/noor-hisham-unvaxxed-62-times-more-likely-die-9-times-more-likely-be