Menjawab Penceramah Yang Menyebar Penipuan

Dr Musa Mohd Nordin
5 Oktober 2021

1. Hari ini, dua kawan saya yang merupakan pakar perubatan telah berkongsi dengan saya satu video yang kini liar menular dialam maya. Saya tak tahu siapa penceramahnya.

 

2. Tetapi saya harap pihak yang berkuasa akan mengambil tindakan yang tegas terhadap penceramah yang tidak bertanggung jawab ini. Beliau membuat beberapa tohmahan mengenai COVID dan vaksin yang ternyata salah, tidak berasaskan fakta dan amat merbahaya.

 

3. Saya akan memetik berapa kenyataan beliau dan menyangkal nya dengan “ala basiratin” seperti yang dianjurkan oleh al-Quran didalam surah Yusof ayat 108 yang bermaksud: “Katakanlah (wahai Muhammad): “Inilah jalanku, aku dan orang-orang yang menurutku, menyeru manusia umumnya kepada agama Allah dengan berdasarkan keterangan dan bukti yang jelas nyata (ala basiratin) …”

 

4. Kenyataan beliau pada minit 0.20
“COVID ini bohong. Ulama kita dah sebut …”

Penceramah ni tinggal dialam mana? Dia di marikh atau berpijak dibumi yang nyata?

Di bumi ini dah berlaku 219 juta kes COVID. Dan 4.6 juta orang telah mati.

Di Malaysia saja dah ada 2.3 juta kes COVID. Dan 27 ribu orang telah meninggal dunia.

Berapa ribu anak2 kecil telah menjadi yatim piatu sebab ibu bapa mereka meninggal
dunia.

 

5. Epidemik juga telah belaku dizaman Nabi (SAW). Nabi yang mengajar kita suatu konsep yang paling agung didalam ilmu perubatan.

Iaitu “alwiqayatu khairunminal ilaj”

Pencegahan itu lebih baik daripada pengubatan!

 

6. Umar (RA) dikisahkan ingin menemui Abu Ubaidah ( RA) diShams yang ketika itu dilanda epidemik Taun.

Abdul Rahman bin Auf (RA) memberitahu Umar (RA) bahwa Nabi (SAW) bersabda yang bermaksud: “Apabila kamu mendengarnya (wabak) di sesuatu tempat, maka janganlah kamu pergi ke situ. Dan apabila ia berlaku di tempat kamu, maka janganlah kamu keluar lari daripadanya.” (Hadis riwayat Imam Muslim)

 

7. Ini membawa kepada persoalan yang kedua dimana si-penceramah memperlekeh & mempermainkan usaha saintis untuk mencegah berlakunya COVID dengan kaedah pengunaan vaksin

 

8. Diminit 0.53 penceramah berkata: “8 dos (vaksin) 12 dos sampai mampus …”

Jelas bahawa si-penceramah ini amat cetek ilmu nya mengenai sains dan perubatan.

Vaksin merupakan ikhtiar manusia untuk mencegah COVID, mencapai imuniti kelompok supaya boleh keluar daripada pandemik ini.

Si penceramah mungkin tak tahu bahawa dulu cacar telah membunuh 200 juta manusia pada kurun ke-20. Tetapi dengan kaedah vaksin cacar penyakit ini (smallpox) telah dapat dibasmikan.

Vaksin polio bakal dibasmi dari muka bumi ini dan begitu juga InshAllah dengan campak dan kongenital rubella.

 

9. Pada tahun 1918, pandemik influenza telah membunuh 50 juta manusia. Mengapa? Sebab tiada vaksin influenza. Tetapi bila berlaku sekali lagi pandemik influenza pada 2009 hanya 300 ribu sahaja yang mati. Mengapa rendah kematian? Sebab adanya vaksin influenza.

 

10. InshAllah vaksin covid telah mengurangkan kematian. Kebanyakan mereka yang masuk hospital, masuk ICU dan yang mati adalah mereka yang menolak vaksin.

 

11. Untuk pengetahuan sipenceramah, vaksin covid bukan 8 maupun 12 dos. Ia adalah 2 dos sahaja. Dan bagi mereka yang berisiko tinggi seperti warga emas atau frontliner mereka disyor mengambil dos ketiga untuk meningkatkan tahap antibodi mereka.

 

12. Dan pada minit 1.22 si penceramah berkata “nak penggalak kepala otak kau”. Ini bukan syaksiah seorang penceramah Muslim yang mithali.

Adab sipenceramah ini tidak mencerminkan seruan Allah (SWT) didalam Al-Quran yang maksudnya: “Ajaklah (manusia) kepada jalan Tuhanmu dengan  hikmah dan tutur  yang baik, dan bantahlah mereka dengan cara yang baik. Sesungguhnya Tuhanmu, Dialah yang lebih mengetahui tentang siapa saja yang tersesat dari jalan-Nya. Dan Dialah yang lebih mengetahui orang-orang yang mendapat petunjuk.” (An-Nahl ayat 125).

 

13. Dan pada minit 1.50 beliau berkata: “percaya ulama walaupun bukan ahli sains …” Jelas bahawa beliau mengikut secara buta tuli.

 

14. Allah berfirman: “Mereka tuli, bisu dan buta, maka tidak lah mereka akan kembali (kejalan yang benar) [Al-Baqarah ayat 18]

 

15. Syeikh Abdul Rahman as-Sa’di mentafsirkan perkataan `mereka tuli’ ialah tuli daripada mendengar kebaikan. `Bisu’ daripada bercakap mengenai kebaikan. `Buta’ daripada melihat kebenaran.

 

16. Ulama Islam tersohor Syakh Dr Yusuf Al-Qaradawi dan ulama sedunia diEuropean Council of Research and Fatwa(ECRF) selalu merujuk kepada pakar2 perubatan seperti diIslamic Organisation of Medical Sciences (IOMS) diKuwait sebelum mereka mengeluarkan sesuatu fatwa berkenaan isu yang bersangkut paut dengan sains dan perubatan.

 

17. Saya sendiri telah menghadiri persidangan fiqh dan perubatan diMesir benerapa tahun dulu dan membentang kertas kerja mengenai teknologi stem cell dan cloning yang dianjurkan oleh IOMS yang telah dihadiri oleh Syakh Al-Azhar dan fuqaha Islam sedunia yang termasyur.

 

18. Jikalau fuqaha terkemuka Islam merujuk dengan pakar perubatan, saudara penceramah harus insaf akan keterbatasan ilmu anda dan harus lebih rendah diri dan jangan berlaku sombong dan bongkak.

 

19. Ini sejajar dengan firman Allah (SWT): “…maka tanyakanlah kepada orang yang berilmu, jika kamu tidak mengetahui. (al-Anbiya’:7)

 

20. Jelas bahawa saudara penceramah ini bukan hanya cetek ilmu sains dan perubatannya tetapi juga harus lebih tertib dan berhati2 mendalami ilmu agama

 

21. Sebagai peringatan kita harus insaf dengan kecaman Allah (SWT) terhadap orang yang berceramah mengenai sesuatu topik tetapi tidak bersandarkan kepada fakta dan hujjah yang nyata.

 

22. Allah berfirman didalam Surah Israa’ ayat 36 yang bermaksud: “Dan janganlah kamu mengikuti sesuatu yang kamu tidak mempunyai pengetahuan mengenai nya. Karena pendengaran, penglihatan dan hati nurani, semua anggota2 itu tetap akan ditanya tentang apa yang dilakukannya.”

 

Wallahualam

Related Posts