Salams.
Saya ingin menarik perhatian saudara kepada video ini yang kini liar menular dialama maya.
Ia banyak mengandungi fakta2 yang palsu (fake news) dan pandangan2 yang menyeleweng dan merbahaya.
Saya harap pendengar tidak terpedaya dengan cerita yang tidak berasaskan hujjah dan nuansanya yang anti-perubatan moden
Kita mesti berhujjah dengan basirah seperti peringatan ayat Al-Quran Surah Yusuf:108
“Katakanlah: Inilah jalanku, aku dan orang-orang yang mengikutiku mengajak (kamu) kepada Allah dengan hujjah yang nyata. Maha suci Allah dan aku tiada termasuk orang-orang yang musyrik.”
Saya akan senaraikan perkara2 yang pelik yang ditimbukan beliau:
- Beliau mencabar bahawa kita takut kepada coronavirus lebih daripada kita takut kepada Allah. Apakah beliau memiliki ilmu mistik dan boleh menilai tahap iman dihati2 kita?
- Bahawa kepercayaan kita bahawa COVID yang membunuh manusia adalah salah tetapi Allah yang menentukan hidup atau matinya seseorang. Sekali lagi anda meragui aqidah kita tentang nama2 (asma ul husna) Allah (SWT): Al-Muhyii: ( المحي ) Maha Menghidupkan dan Al-Mumiit: ( المميت ) Maha Mematikan. Anda sungguh cepat dan mudah menghukum. Anda harus ingat bahawa kita didunia ini adalah sebagai pendakwah bukan penghukum.
- Anda mengatakan bahwa coronavirus ini adalah makhluk yang lemah. Ini pada pendapat kami adalah betentangan dengan fakta. Coronavirus ini telah menjangkiti 82 ribu org dan mengakibatkan 411 kematian diMalaysia. Di dunia pula 71 juta kes dan 1.6 juta kematian. Setiap 1 kematian adalah satu trajedi. Oleh sebab itu setiap usaha untuk memelihara nyawa manusia adalah suatu keutamaan didalam Maqasid Shari’ah. Ini bersandrkan firman Allah (SWT) didalam surah al-Maidah ayat 32: “Barangsiapa memelihara kehidupan seorang manusia, maka seakan-akan dia telah memelihara kehidupan semua manusia.”
- Ia merupakan suatu sunatullah, dimana Allah (SWT) menghantar makhluk kecil yang boleh menyebabkan penyakit, kematian dan kesengsaraan keatas manusia.
- Sebagai manusia, kita jangan rasa takabur dan bongkak. Allah (SWT) telah menghantar nyamuk yang kecil untuk mencabar Namrud dan menghantar katak dan belalang (locust) untuk mengingatkan Firaun supaya tidak berlaku sombong seperti termaktub didalam surah al-Baqarah ayat 26: “Sesungguhnya Allah tidak segan membuat perumpamaan seekor nyamuk atau yang lebih kecil dari itu. Adapun orang-orang yang beriman, mereka tahu bahwa itu kebenaran dari Tuhan. Tetapi mereka yang kafir berkata, “Apa maksud Allah dengan perumpamaan ini?” Dengan (perumpamaan) itu banyak orang yang dibiarkan-Nya sesat, dan dengan itu banyak (pula) orang yang diberi-Nya petunjuk. Tetapi tidak ada yang Dia sesatkan dengan (perumpamaan) itu selain orang-orang fasik.”
- Allah (SWT) dan Rasulnya (SAW) menggalak kita untuk mencari ilmu dan membuat kajian untuk mencari penawar kepada semua jenis penyakit. “Allah tidak menurunkan sesuatu penyakit melainkan diturunkan bersamanya penawar.” [Riwayat al-Bukhari)
- Nampaknya saudara agak keliru tentang konsep pengubatan dan pencegahan. Sebaik2 tradisi diadalam perubatan allopati ialah pencegahan. Maka terdapat suatu amalan yang agung didalam perubatan allopati iaitu “Pencegahan lebih baik daripada pengubatan.” Ini berasaskan kepada suatu kaedah fiqh, “sadd as-dzaraie” (menutup pintu kerosakan)
- Kajian manusia didaalam ilmu immunologi telah menghasilkan beberapa vaksin yang boleh mencegah seseorang daripada mendapat penyakit COVID. Ini sudah tentu suatu penemuan, syifa’ (penawar) yang amat baik dan bakal memberikan imuniti kelompok (herd immunity) kepada manusia dan menghentikan penularan pandemik dengan izin Allah (SWT)
- Bukankah ini mesej yang tersirat didalam 6 ayat2 syifa’ (penawar) yang terdapat didalam al-Quran. Contohnya do’a nabi Ibrahim didalam surah As-Syu’araa’ ayat 80: “Dan apabila aku sakit Dia yang menyembuhkan aku”
- Anda memperkecilkan ikhtiar manusia untuk mengatasi pandemik dengan ilmu vaksinoloji. Sungguh, manusia mudah lupa. Pada kurun kedua puluh, cacar (smallpox) telah membunuh 200 juta manusia. Tetapt dengan vaksin cacar, small pox kini telah dibasmikan daripada bumi ini. Dan dengan kejayaan ini vaksin cacar telah dihentikan penggunaannya pada tahun 1980. Inshallah jika kita mengguna vaksin dengan baik dan sempurna, kita berpotensi membasmikan penyakit2 lain seperti polio, campak dan rubella.
- Anda hanya mencadangkan memakan makanan2 sunnah, tetapi anda tidak menunjukkan kajian, fakta dan data bahwa ia boleh mencegah maupun merawat penyakit covid. Bahkan ramai pengamal perubatan alternatif membuat tuntutan bahwa ia boleh merawat bermacam2 jenis penyakit termasuk darah tinggi, kencing manis, sakit jantung, HIV dan lain2. Ini semua tidak bersandarkan ala basiratin tetapi hanya andaian, cerita2, dongeng purba, anekdot dan ada yang tersenarai sebagai pembohongan. Anda juga harus maklum bahawa banyak daripada hadis2 yang diriwayatkan mengenai makanan sunnah ini adalah hadis2 yang dhaif yakni lemah dan ada yang palsu belaka.
- Maka falsafah anda untuk menolak vaksin dan kaedah perubatan allopati adalah amat dangkal dan mempunyai ciri2 fatalistik. Amat tidak bertanggung jawab apabila anda berkata “sama saja makan ubat tak makan ubat, kalau Allah tak sembuh means tak sembuh”. Ini adalah suatu jenayah agama dan akademik yang tidak sepatut diucap oleh seorang pemegang PhD.
- Nabi (SAW) tidak hanya beruzlah dan berdoa kepada Allah (SWT) semata2. Nabi (SAW) keluar berdakwah, berperang, menggali parit khandak, memakai pakaian perang, namun demikian telah tercedera juga didalam perang.
- Konsep yang saudara utarakan mengenai ibadah dan do’a amat sempit dan tidak syamil dan holistik. Mencari ilmu, membuat kajian, menghasilkan vaksin semuanya adalah ibadah untuk mencari mardhatillah (keridaan Allah) dalam konteks mencari manfaat dan kebaikan (maslahah) dan menghalang kemudaratan(mafsadah).
- Ide2 yang anda lontarkan agak simplistik, ambil mudah, tidak mendalam dan mahir didalam perbincangan mengenai COVID dan solusi pandemik ini. Mengenail perkara ini, Allah (SWT) telah memperingatkan kita didalam surah an-Nahl ayat 43: “Dan Kami tidak mengutus sebelum engkau (Muhammad), melainkan orang laki-laki yang Kami beri wahyu kepada mereka; maka bertanyalah kepada orang yang mempunyai pengetahuan jika kamu tidak mengetahui.”
- Dalam bab perubatan, fuqaha Islam telah merujuk kepada pakar2 perubatan allopati Muslim untuk mengetahui dengan lebih mendalam mengenai sesautu subjek sebelum mengeluarkan fatwa.
- Contohnya pada tahun 1995, lebih daripada 100 fuqaha telah bermuzakarah dengan pakar2 perubatan allopati Muslim diKuwait yang dianjurkan oleh Islamic Organisation of Medical Sciences (IOMS) sebelum mengelurakan fatwa mengenai konsep istihalah (biotransformasi) dalam konteks pengunaan bahan2 yang ditidak suci didalam makanan dan ubat2an. Jika ulama tersohor global merujuk kepada pakar2 perubatan allopati, kita harus lebih rendah diri dan insaf akan keterbatasan ilmu kita didalam menangani pandemik yang rumit dan kompleks seperti COVID-19.
- Akhir kata, kita harus insaf dengan kecaman Allah (SWT) mengenai mereka yang berbincang mengenai sesuatu tanpa berasaskan bukti dan ilmu yang nyata seperti terdapat didalam surah Isra’ ayat 36: “Dan janganlah kamu mengikuti apa yang kamu tidak mempunyai pengetahuan tentangnya. Sesungguhnya pendengaran, penglihatan dan hati, semuanya itu akan diminta pertanggungan jawabnya.”
Wallahualam
Dr Musa Mohd Nordin
Dr Ahmad Faidhi Mohd Zaini